mutakhir

Kantoi cubaan seludup rokok

Oleh Iskandar Shah Mohamed

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup ribuan karton rokok menerusi laluan laut kira-kira 0.2 batu nautika dari Barat Daya Sungai Kapar, Pelabuhan Klang malam tadi.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya mengesan sebuah bot yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan, jam 10 malam.

“Menyedari kehadiran anggota kita yang sedang menjalankan rutin rondaan, bot itu kemudian bertindak memecut untuk meloloskan diri.

“Bot peronda kita cuba mengejar namun gagal berikutan bot suspek itu menuju ke arah laut dalam cuaca gelap,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menuju ke tebing Sungai Kapar Besar yang membawa kepada penemuan ribuan karton rokok putih seludup.

“Pemeriksaan mendapati 1,450 karton rokok pelbagai jenama itu berada dalam sebuah van yang ditinggalkan oleh penyeludup.

“Semua rokok yang dianggarkan berjumlah RM3,600 itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohammad Rosli berkata, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya turut menahan sebuah bot nelayan Indonesia kira-kira 32 batu nautika Tanjung Karang, jam 1.55 petang Rabu lalu.

“Bot kayu tanpa nombor pendaftaran itu dikesan sedang menangkap ikan di perairan Tanjung Karang.

“Hasil pemeriksaan mendapati tekong dan lima awak-awak warga Indonesia tidak memiliki dokumen pengenalan diri selain 50 kilogram ikan yang diperoleh mereka hasil aktiviti penangkapan ikan menggunakan rawai,” katanya.

Beliau berkata, bot dan semua lelaki berusia 17 hingga 49 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 8:36pm
d