mutakhir

'Berkat jasa arwah kami dibantu'

Oleh Mary Victoria Dass

“SEMUA bantuan yang kami terima adalah berkat jasa arwah dan saya menjunjung kasih kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar yang berkenan menanggung bayaran sewa rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama, di sini,” kata ibu tunggal, Noor Nadia Kamaludin, 30.

Noor Nadia adalah balu kepada seorang daripada anggota bomba, Allahyarham Mohd Fatah Hashim yang terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja 13 tahun di lombong di Puchong, pada 3 Oktober tahun lalu.

Menurutnya, keluarganya berterima kasih atas keprihatinan semua pihak termasuk kerajaan negeri Pahang, Johor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang membantunya bersama dua anak, Nur Medina Aisya, 4 dan Muhammad Meqa Al-Asyraf, 3.

“Insya Allah saya dan dua anak yang diberi kebenaran untuk tinggal di kuarters bomba Kempas buat sementara waktu sebelum ini akan berpindah masuk ke unit PPR Uda Utama, Isnin ini.

“Bantuan ini membolehkan saya dan anak membina kehidupan baharu serta beban saya bertambah ringan,” katanya.

Noor Nadia berkata, bantuan dan sokongan moral diberikan memberinya semangat untuk mengubah nasib keluarga.

“Saya juga akan mencari pekerjaan sesuai pada masa depan dan berusaha memiliki rumah sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan PPR Uda Utama antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Johor di PPR Uda Utama, di Johor Bahru, hari ini.

Noor Nadia antara 15 penerima yang menerima sijil tawaran disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Selepas tragedi menimpa arwah suami Noor Nadia, Oktober lalu, Raja Permaisuri Agong bertitah sedia membantu balu anggota bomba, Allahyarham Mohd Fattah Hashim, meneruskan kehidupan termasuk mendapatkan rumah.

Baginda turut berkenan mencemar duli menziarahi keluarga Mohd Fattah di Kampung Baru Beserah, Kuantan, Pahang sebelum ini.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 8:48pm
d