mutakhir

Ucapan 'Selamat Pagi' terakhir

Oleh Rosli Ilham

SEORANG lelaki ditemui mati di rumahnya di Taman Perumahan Alam Perdana, Chukai, hari ini.

Mayat Chan Yu Yong, 60, yang menghidap angin ahmar ditemui jirannya pada 1.30 tengah hari.

Difahamkan, mangsa yang tinggal bersendirian menghidap penyakit itu sejak tiga tahun lalu dan hanya mengharapkan bantuan jiran menguruskan kehidupannya.

Jiran mangsa, Foo Ken Pin, 45, berkata anak lelakinya berusia 12 tahun pergi ke rumah mangsa untuk bertanya khabar sebelum melihat mayat mangsa terbaring di atas lantai.

Menurutnya, kali terakhir mangsa ada menghubunginya melalui WhatsApp dengan hanya mengucap selamat pagi pada Selasa lalu.

“Selepas hari itu, saya tidak lagi menerima pesanan daripadanya dan saya tidak sempat bertanya khabar kerana kesibukan sebelum dimaklumkan anak bahawa dia sudah meninggal dunia.

“Selepas anak memberitahu melihat mendiang dalam keadaan terbaring, saya pergi ke rumahnya dan memanggil namanya, namun ternampak melalui tingkap lelaki itu terbaring tidak bergerak.

“Saya maklumkan perkara itu kepada semua jiran sebelum melaporkan kejadian berkenaan kepada polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, sepasukan polis bergegas ke rumah mangsa untuk menjalankan siasatan sebelum membawa mayatnya ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Katanya, berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak dan mula reput, polis percaya mangsa meninggal dunia sejak tiga hari lalu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 10:47pm
d