mutakhir

Jentera PH bantu kempen calon BERSATU

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEMUA jentera parti dalam Pakatan Harapan (PH) akan turun membantu kempen calon Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac nanti.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata, dakwaan jentera PKR, DAP dan AMANAH akan memboikot calon BERSATU, Muhamad Aiman Zainali adalah tidak benar.

“Tidak betul (akan boikot). Jentera PH sudah pun bersiap sedia untuk PRK Semenyih. Sudah tentu kita akan bantu calon kita.

“Isu ahli UMNO sertai BERSATU sudah tiada. Seperti yang saya tegaskan kehadiran Ahli Parlimen UMNO akan meramaikan ahli PH,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis 2019 di Padang Rakan Muda Taman Sri Andalas di Klang, malam ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan mengulas dakwaan jentera DAP, PKR dan AMANAH akan memboikot kempen pada PRK DUN Semenyih sebagai tanda protes terhadap tindakan BERSATU menerima kemasukan Ahli Parlimen daripada UMNO.

Mereka ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Shamsuddin; Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut); Datuk Dr. Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

Setiausaha DAP Selangor Ronnie Liu dilaporkan menyelar tindakan Dr Mahathir menerima kemasukan tujuh Ahli Parlimen Bebas itu yang disifatkan sebagai ‘sampah’.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Semenyih pada 2 Mac depan, manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 11:02pm
    d