mutakhir

Fokus kukuhkan sokongan generasi muda

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“SAYA ada pasukan mantap dan kami akan terus bekerja kuat bukan saja untuk kekal sebagai kerajaan di Selangor, malah memastikan sokongan anak muda kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH) kekal,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Najwan Halimi.

Barisan 38 orang Majlis Pimpinan AMK Selangor dimuktamadkan malam tadi dengan pemilihan pelbagai latar belakang bagi memastikan agenda reformasi terus segar dan relevan dengan kehendak semasa.

Beliau berkata, biarpun isu perselisihan sewaktu pemilihan parti penghujung tahun lalu masih menjadi buah mulut sesetengah pihak, senarai Majlis Pimpinan diputuskan itu adalah keluarga besar dan tidak menyebelahi mana-mana kumpulan.

“Kami tahu sewaktu pemilihan ada kem kartellah, Invoke, orang itu dan ini, tapi saya bertanding tidak ikut mana-mana.

“Jadi mereka yang saya pilih berdasarkan keupayaan untuk bekerja bersama di dalam parti,” katanya kepada Harian Metro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu berkata, fokus buat masa ini ialah mengukuhkan sokongan anak muda kepada parti dan PH, sesuai dengan kedudukan sebagai kerajaan.

“Tanggungjawab kami dulu mudah, kritik saja. Sekarang ini sayap pemuda harus ada peranan menjelaskan keputusan kerajaan, tapi pada masa sama, perlu semak dan imbang. Kami perlu kekal kritis dan berani,” katanya.

Turut tersenarai adalah ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan ADUN Rawang, Chua Wei Kiat.

Najwan berkata, biarpun Selangor dipimpin PKR, ia bukan alasan untuk mereka mengambil mudah setiap isu dibangkitkan golongan muda, malah ia menjadi cabaran besar kepada pasukannya.

Disiarkan pada: February 15, 2019 @ 11:48pm
d