mutakhir

'Dia teman je...'

Oleh Junaidi Ladjana

Putatan: “Dia hanya temankan saja kerana saya baru tiba di Sabah untuk bercuti.” Itulah alasan seorang wanita, 20-an, selepas dia dan teman lelakinya ditahan di sebuah bilik hotel bajet, di sini, malam kelmarin.

Wanita terbabit yang berasal dari Kuala Lumpur ditahan bersama pasangannya berusia 20-an oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam satu operasi cegah maksiat.

Ketika serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu, penguat kuasa JHEAINS terpaksa menunggu hampir 10 minit untuk pasangan terbabit membuka pintu bilik.

Selepas disoal siasat pegawai penguat kuasa JHEAINS, kedua-dua mereka mengaku belum berkahwin.

Wanita terbabit yang baru tiba dari Kuala Lumpur malam kemarin, mengatakan datang ke Sabah untuk bercuti dan menyewa bilik di hotel berkenaan manakala pasangannya dari Papar.

Ketua Operasi JHEAINS, Norisham Pura berkata, pasangan berkenaan antara tujuh pasangan yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan iaitu di taman perumahan dan dua hotel bajet di daerah ini.

“Semua pasangan ditahan selepas didapati tinggal berdua-duaan dengan pasangan bukan mahram.

“Semua mereka ditahan berusia antara 17 hingga 56 tahun dan dibawa ke Balai Polis Putatan bagi urusan laporan dan dokumentasi,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.

Terdahulu, operasi yang bermula kira-kira 11 malam dan berakhir pada 4 pagi itu membabitkan anggota polis dan Majlis Daerah Putatan (MDP).

Sementara itu, operasi di taman perumahan Teluk Viilla, di sini, turut disertai oleh komuniti Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 8:39am
d