mutakhir

Separuh badan dibaham buaya

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

MAYAT lelaki yang ditemui dalam keadaan tragis dengan hanya separuh badan di Sungai Segaliud di Sandakan, semalam, disahkan mati akibat serangan buaya.

Identiti lelaki ditemui oleh anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada jam 4.20 petang itu disahkan sebagai Kastelo Karlos, 40.

Difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai buruh ladang itu keluar memancing di sungai bersendirian, kelmarin, sebelum dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, menyedari mangsa tidak pulang ke rumah sehingga jam 5 petang, keluarga mencarinya di kawasan sungai berkenaan.

“Bagaimanapun mangsa tidak ditemui dan ahli keluarga hanya menjumpai peralatan memancing, motosikal serta telefon bimbit miliknya.

“Pada hari berikutnya, usaha mencari dan menyelamat dijalankan oleh bomba, Pasukan Polis Marin (PPM) dan dibantu oleh penduduk kampung.

“Bomba kemudian menemui mayat mangsa kira-kira empat kilometer dari lokasi motosikal dan peralatan memancing mangsa ditemui,” katanya menerusi kenyataan media.

Mohd Azhar berkata, berdasarkan kecederaan anggota badan, dipercayai mangsa dibaham buaya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Semalam, bomba menemui mayat mangsa dalam keadaan tragis iaitu dari pinggang ke kaki dipercayai terputus dipercayai akibat serangan buaya.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 8:52am
d