mutakhir

Meninggal dunia ketika mahu iringi calon

Oleh Hairulazim Mahmud

PENYOKONG Barisan Nasional (BN) dari Kuala Terengganu rebah sebelum meninggal dunia semasa proses penamaan calon berlangsung pagi tadi.

Allahyarham Mamat Awang, 59, dikatakan rebah semasa berhimpun mengiringi calon BN Zakaria Hanafi ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang pada jam 9.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima makluman kejadian berkenaan sejurus selepas itu.

“Saya dimaklumkan kejadian itu tadi, mangsa mungkin mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata pegawai perubatan dari klinik swasta membuat pengesahan awal kematian.

Bagaimanapun, sebab kematian belum dipastikan lagi.

“Mayat dibawa ke Hospital Kajang untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 11:23am
    d