mutakhir

i-Tegur dapat sambutan

Oleh Mary Victoria Dass

PENGGUNA Aplikasi i-Tegur yang dilancarkan Disember lalu, kini mencecah 8,000 hingga 9,000 orang, sekaligus membuktikan tahap kesedaran rakyat terhadap isu tempatan semakin meningkat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, aplikasi berkenaan menggalak dan memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat secara online berbanding hanya menggunakan telefon untuk membuat aduan sebelum ini.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya mahu menggalakkan rakyat bersama-sama membangunkan negeri dan negara dengan menyalurkan aduan bersesuaian.

Katanya, aplikasi berkenaan membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi maklumbalas dengan cepat dan cekap dalam menyelesaikan sebarang masalah di kawasan pentadbiran masing-masing.

“Sejak awal pengenalannya, beberapa PBT sudah mengambil bahagian dengan menerima aduan menerusi aplikasi berkenaan.

“Secara berperingkat, ia akan membabitkan kesemua PBT di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Festival Penjagaan Kesihatan Keluarga di Plaza Sentosa di Johor Bahru, hari ini.

Zuraida berkata, maklumbalas yang semakin meningkat menunjukkan kejayaan aplikasi berkenaan.

“Jangan salah faham, banyak pengguna tidak bermakna banyak aduan, sebaliknya ia menunjukkan tahap kesedaran dan perkara baik untuk negara kerana mampu menyelesaikan masalah dan aduan rakyat.

“Aplikasi ini juga boleh menyelaraskan sistem aduan termasuk boleh dipantau oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat terutama memastikan aduan disalurkan sudah diselesaikan atau tidak,” katanya.

Zuraida berkata, sejak aplikasi berkenaan diperkenalkan, sebahagian besar aduan berjaya diselesaikan.

“Bagaimanapun, kadang-kala terdapat aduan di luar bidang atau tidak berkaitan, namun kita tetap memberi maklumbalas dan berusaha menyalurkannya kepada pihak berkaitan,” katanya.

Orang awam boleh menyalurkan aduan kepada PBT kawasan masing-masing dengan menggunakan Aplikasi i-Tegur.

Aplikasi ini dibangunkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan boleh dimuat turun menerusi Google Play (Android) dan App Store (iOS).

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 1:42pm
d