mutakhir

Suspek tikam jiran meninggal dunia

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

LELAKI yang menikam jiran bilik sewanya sehingga mati di Jalan Theatre, di Ipoh, 2 Februari lalu, meninggal dunia selepas 14 hari menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, suspek berusia lingkungan 30-an meninggal dunia jam 12.55 tengah hari, hari ini, selepas koma sejak dimasukkan ke hospital itu.

“Suspek yang kritikal dan koma diberi rawatan oleh HRPB dengan mesin sokongan hayat sebelum disahkan meninggal dunia jam 12.55 tengah hari tadi dan mayatnya akan dibedah siasat esok.

“Setakat ini punca kematiannya adalah disebabkan kecederaan parah di bahagian otak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 2 Februari lalu, warga emas, Chai Ah Kin, 83, maut di tempat kejadian manakala suspek yang menetaknya parah dan dirawat di HRPB.

Difahamkan, terdapat kesan tikaman objek tumpul dipercayai sudu di dada mangsa manakala suspek yang parah ditetak di kepala oleh individu lain.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Perak, Asisten Komisioner Anuar Othman dilaporkan berkata, Ah Kin dipercayai bergaduh dengan suspek sebelum ditikam dengan objek tumpul.

Menurutnya, seorang wanita didakwa cuba meleraikan pergaduhan itu namun dicekik suspek menyebabkan anak lelakinya berusia 30-an mengambil pisau pemotong daging dan menetak suspek.

Berita berkaitan

Suspek masih dirawat di ICU

Gaduh: Mangsa maut ditikam sudu? [METROTV]

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 2:46pm
d