mutakhir

Itu bukan lakonan

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

PETANI yang menyerahkan surat kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub pada satu majlis Rabu lalu, menepis tohmahan segelintir pihak yang mengatakan ia ‘lakonan’ dirancang.

Ibas Hamud, 78, berkata kandungan surat itu meluahkan situasi dan kebimbangan petani serta nelayan berkaitan isu pemotongan elaun sara diri.

“Ini bukan soal peribadi tetapi bagaimana kumpulan seperti kami meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

“Tujuan surat itu diserahkan bukan sekadar gimik atau mahu memalukan beliau (Salahuddin) namun hendak membuka mata semua pihak begitu sukarnya kami mencari rezeki ketika ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Sungai Besar, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Parit 12 Timur, Jumbari Ashari.

Media sebelum ini melaporkan Salahuddin menitiskan air mata ketika membaca surat yang diserahkan seorang petani pada majlis pelancaran hala tuju kementeriannya di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang, Rabu lalu.

Suara beliau tersekat-sekat ketika membaca surat itu yang mengundang rasa sedih hadirin.

Kata Ibas, dia dan rakan pesawah lain merancang surat itu sejak beberapa bulan lalu dan tidak berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Saya akui selepas pulang daripada program itu, ada pihak yang tidak senang duduk dan bercakap belakang kononnya saya dan Menteri itu berlakon atas pentas berkenaan.

“Jika mereka duduk atas pentas dan melihat sendiri air mata beliau, saya rasa mereka akan berfikir banyak kali sebelum membuat tuduhan melulu,” katanya yang menjadi pesawah padi selama hampir 66 tahun.

Menurutnya, dia bersyukur Salahuddin memberi jaminan akan memperjuangkan nasib kelompok petani dan nelayan sekali gus mengeluarkan golongan itu daripada kepompong kemiskinan.

“Dalami dan fahami apa yang kami rasa. Bukan mudah menjadi petani dan nelayan yang punca pendapatannya tidak menentu setiap hari.

“Agihkan elaun tanpa mengira kaya atau miskin kerana bantuan itu adalah hak mereka dan bukan hak peribadi. Mereka juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan,” katanya.

Berita berkaitan

Wak Ibas buat menteri menangis

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 3:07pm
d