mutakhir

Terbakar dipercayai akibat litar pintas

Oleh Mohd Hilmie Hussin

RUMAH pusaka separuh kekal musnah dalam satu kebakaran di Jalan Klebang Besar, Melaka, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, rumah separuh kekal yang dijadikan stor barangan itu musnah 100 peratus dipercayai akibat litar pintas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Kamarulzaman Mohd Din berkata, pemilik rumah terbabit bernasib baik kerana kebakaran tidak merebak ke rumah utama yang terletak kurang 10 meter di sebelah.

“Kemusnahan seratus peratus baik struktur bangunan dan zink dan kita anggarkan kerugian lebih RM15,000.

“Ketika kejadian pemilik rumah dipercayai keluar berkerja dan dia bernasib baik kerana sebuah kereta dan motosikal diselamatkan orang awam,” katanya.

Ketika diminta mengesahkan punca sebenar kebakaran, Kamarulzaman enggan mengesahkan sebelum siasatan forensik selesai, namun beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat penyambungan haram tanpa kebenaran Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dalam kejadian itu, bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu menerima panggilan dari orang awam pada jam 5.11 petang dan tiba di lokasi 13 minit kemudian.

Dalam pada itu, saksi K Athiletchmy, 51, memberitahu pada jam 5.15 petang dia berada di rumah dan lima minit kemudian dia kedengaran letupan dan jiran yang lain menjerit ‘api’.

“Saya keluar dari rumah yang terletak betul-betul di belakang stor yang terbakar, saya lihat asap tebal bermula di tengah rumah sebelum api marak membakar stor itu,” katanya.

Seorang lagi saksi, Tan Kian Meng, 43, berkata, dia yang sedang menghantar tong gas dari Klebang, terkejut melihat asap tebal dari bangunan rumah lama itu, lalu berhenti di tepi jalan.

Dia kemudian memanjat pagar rumah terbabit untuk membantu menyelamatkan jika ada mangsa.

“Saya panjat pagar dan ketuk pintu rumah utama, tekan loceng tapi tiada orang menyahut.

“Ketika itu, orang awam juga memanjat pagar rumah dan membantu menolak kereta dan motosikal yang di parkir di hadapan rumah,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 3:29pm
d