mutakhir

'Kami penuhi permintaan terakhir arwah'

Oleh Nor Farhani Che Ad

“DIA pernah menyatakan hasrat mahu menghadiri majlis pentauliahan ini biarpun dalam keadaan berkerusi roda, namun apakan daya dia tidak sempat berbuat demikian, hanya saya dan suami mewakili arwah naik ke pentas untuk mengambil sijilnya,” kata Fatimah Mohd Yatim, 64.

Fatimah adalah ibu kepada pesakit leukemia limfobastik akut (ALL), Norela Salleh yang meninggal dunia 2 Januari lalu dan sepatutnya menerima pelantikan sebagai Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Sungai Petani hari ini.

Fatimah yang berasal dari Muar, Johor berkata, anaknya yang menuntut Diploma Pengajian Perniagaan di UiTM Kampus Segamat, Johor dikesan menghidap penyakit itu September tahun lalu selepas mengalami demam.

“Pada hari pertama dia mendaftar semester terakhir September tahun lalu dia demam, saya minta dia ke klinik dalam UiTM itu, namun pihak klinik tidak dapat mengesan penyakitnya.

“Namun, kali ketiga membuat pemeriksaan darah, doktor mendapati arwah menghidap penyakit itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis UiTM Kali Ke-4 2019, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, anak ke-14 daripada 15 beradik itu terlalu meminati badan beruniform polis bagi mahasiswa di peringkat universiti itu sehinggakan arwah sempat menyuarakan hasrat ingin melihat rakan-rakannya yang turut menyertai kegiatan itu memakai pakaian Kor Suksis pada hari dia meninggal dunia.

“Pada hari arwah meninggal dunia, memang ramai rakan-rakannya datang memakai pakaian Kor Suksis, memang kami tak sangka rakan-rakan sanggup menunaikan permintaannya itu,” katanya.

Fatimah berkata, biarpun dia, suami, Salleh Tahar, 68, serta beberapa anak yang lain terpaksa datang dari jauh, namun mereka tetap mahu menunaikan hajat terakhir anaknya itu untuk mengambil sijil pentauliahan bersama pelatih yang lain.

“Memang sebak bila kami datang tanpa arwah sebab arwah nak sangat ada pada majlis ini, kedatangan kami ini adalah bagi memenuhi permintaan terakhirnya,” katanya.

Terdahulu, seramai 285 Kor Suksis yang terdiri daripada 110 penuntut lelaki dan 175 pelajar perempuan membabitkan sembilan kampus UiTM seluruh negara iaitu UiTM Kedah, Kelantan, Perlis, Perak, Johor, Melaka, Pahang, Sabah dan Sarawak menerima sijil lantikan itu.

Sijil disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Sun Teoh Tia.

Sementara, Sun berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka pengambilan khas kepada pegawai Kor Suksis buat kali kedua pada tahun ini untuk mengisi perjawatan di peringkat Inspektor.

Katanya, seramai 576 daripada lebih 12,000 pelatih yang berjaya menamatkan latihan sebagai Inspektor Kor Suksis sejak 1999 ditauliahkan sebagai Kadet Inspektor pada 2016.

“Pengambilan khas itu terbuka kepada Kor Suksis sahaja, bagaimanapun, proses pengambilan adalah sama seperti dengan pengambilan dalam kalangan orang awam.

“Mereka perlu menjalani saringan seperti ujian fizikal, ujian dalam talian dan menjalani temu duga seperti pengambilan biasa,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 4:10pm
d