mutakhir

MPSP keluar notis henti pembinaan

Oleh Hadzlihady Hassan

MAJLIS Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sudah mengeluarkan notis memberhentikan kerja pembinaan di lokasi yang menyebabkan tiga maut dihempap kerangka bumbung di tapak pembinaan Jalan Perusahaan Perai, dekat Georgetown, semalam.

Yang Dipertua MPSP Datuk Rozali Mohamud berkata, notis serta merta itu dikeluarkan mengikut Seksyen 70(9)(b), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, semalam dan salinan turut diberikan kepada pemaju, serta Lembaga Jurutera Malaysia.

Katanya, pihak bertanggungjawab perlu segera mengemukakan surat kemungkiran pembinaan yang dijalankan berkenaan struktur bangunan runtuh, serta mengemukakan tindakan pemulihan yang diambil.

"Dalam tempoh itu, MPSP akan membuat pemantauan keadaan tapak, meminta maklumbalas pihak bertanggungjawab untuk tindakan pembetulan kesalahan.

"Seterusnya, kita akan membuat laporan lengkap menerusi kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH)," katanya.

Dalam kejadian 4.45 petang semalam, 3 pekerja membabitkan seorang warga tempatan dan dua warga asing maut selepas dihempap kerangka bumbung di tapak pembinaan gudang.

Pekerja warga tempatan, P Kumar, 46, dan lelaki Myanmar, Rofi Khan, 32, maut di tempat kejadian, sementara Amir Udin Abil Kasim, 20 tahun yang juga warga Myanmar maut ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Manakala tiga lagi warga asing kini masih dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital sama.

Berita berkaitan

'Dua maut, tiga parah dihempap besi'

'[UPDATE] Dihempap ketika berlari keluar'

[UPDATE] Seorang lagi maut, identiti mangsa dikenal pasti

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 4:27pm
d