mutakhir

Serius tangani isu ketum

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KERAJAAN Kedah serius menangani masalah berkaitan penyalahgunaan ketum yang dilihat lebih banyak memberi kemudaratan kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah juga sudah menggazetkan bahawa ketum adalah haram sejak 2015 lagi kerana ia mendatangkan kemudaratan.

Menurutnya, ketum difatwakan haram sejak Mufti Kedah terdahulu Datuk Muhamad Baderudin Ahmad dan ketika ini juga kerajaan sedia mengekang masalah ketum dengan sedang membuat kajian menggunakan undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara.

“Kita sedang mengkaji menggunakan Kanun Tanah Negara membabitkan syarat pertanian yang merujuk penanaman ketum adalah salah di sisi undang-undang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Ismail berkata demikian bagi mengulas berkaitan papan iklan yang tertera Ketum Haram di pasang di negeri ini yang tular di media sosial.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini, beliau tidak mengetahui maklumat lanjut berkaitan pemasangan papan iklan itu, di mana ia dipasang dan berapa jumlah yang ada di negeri ini.

“Saya belum ada maklumat lagi berkaitan pemasangan papan iklan itu namun ingin dinyatakan sememangnya kerajaan negeri serius menangani isu ini.

“Saya juga ingin menasihatkan orang ramai yang di rumah mereka ada tanaman ketum supaya sukarela menebang pokok itu sebelum penguatkuasaan dijalankan nanti,” katanya.

Sementara itu, Mufti Kedah, Datuk Mohd Syeikh Fadzil Awang berkata, pemasangan papan iklan itu bukanlah dilakukan oleh pihaknya dan berkemungkinan dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan pertemuan Menteri Besar Kedah bersama imam baru-baru ini yang menyentuh soal ketum.

“Ketum sudah lama difatwakan haram dan ia dibuat oleh mufti terdahulu dan bukan saja ketum malah shisha juga diharamkan di negeri ini,” katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini sedia menggunakan undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara bagi menghapuskan lebih 100 hektar ladang ketum yang dikesan di Kedah.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 6:00pm
d