mutakhir

Teruja gagau ikan

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

MENGGAGAU ikan di dalam tali air yang berselut berikutan kemarau di Perlis memberi pengalaman baru buat 20 kakitangan Unit Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang rata-ratanya berasal dari bandar.

Lebih menarik, semua kakitangan terbabit turut didedahkan cara bermasyarakat dengan penduduk setempat selain mempelajari kaedah memasak ikan air tawar yang betul dalam Program Menggagau Ikan Kakitangan UniMAP di Kampung Tok Pulau, Kangar.

Peserta, Ayu Hidayah Ekhlas, 36, berkata, dia teruja dengan program berkenaan kerana sepanjang lima tahun bekerja sebagai pereka grafik di unit itu dia tidak pernah melalui pengalaman itu.

“Saya berasal dari Johor Bahru dan di sana tak ada aktiviti menggagau ikan di tali air.

“Selama ini saya tak pernah langsung menyentuh ikan air tawar dan menjamahnya tetapi hari ini adalah hari bertuah saya dan paling menggembirakan ialah saya mempelajari cara penyediaan ikan air tawar untuk dimasak,” kata ibu kepada dua orang anak ini.

Sementara itu, Pengarah Unit Komunikasi Korporat UniMAP, Mustaffa Ismail yang juga penyelia program berkenaan berkata, objektif pihaknya menganjur program itu adalah untuk memberikan pendedahan kepada kakitangannya dengan suasana kampung.

“Meskipun kami tinggal di Perlis namun suasana kerja di pejabat kami tidak jauh bezanya dengan kehidupan di bandar.

“Jadi melalui penganjuran julung kalinya program ini dapat membantu kakitangan merasai nikmat kehidupan di kampung dan tidak terlalu tertekan dengan bebanan kerja,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 6:20pm
d