mutakhir

Masjid penghubung masyarakat Islam dan bukan Islam

Oleh Yusmizal Dolah Aling

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memperkenalkan tujuh konsep masjid di ibu negara sebagai inisiatif merapatkan hubungan bersama penduduk setempat serta merangka lebih banyak program bersama.

Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata, tujuh konsep terbabit ialah Masjid Pelancongan, Pertanian, Ilmu, Digital, Dalam Taman dan Masjid Hijau yang dilihat mampu mewujudkan permuafakatan yang baik demi kebaikan bersama.

Katanya, selain itu, masjid juga berperanan untuk memupuk rasa hormat menghormati antara masyarakat Islam dan bukan Islam serta menjadi simbol perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

“Pelaksanaan program seperti ini selaras dengan prinsip Islam sebagai agama rahmat kepada seluruh alam dan menepati konsep Masjid RAHMAH melalui elemen harmoni dengan membawa mesej aman dan keharmonian

“Masjid juga dalam konteks ini bertindak sebagai penghubung masyarakat termasuk dengan masyarakat bukan Islam,” katanya pada Sambutan Tahun Baru Cina di Masjid Al Muhsinin Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Ia adalah acara tahunan bersama masyarakat Cina dengan kerjasama persatuan penduduk di sini iaitu Persatuan Penduduk Taman Desa (TDRA), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon 1 Taman Desa yang turut membabitkan penyertaan badan bukan kerajaan.

Mohd Ajib berkata, pengurusan masjid mengambil inisiatif menganjurkan sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang juga kebudayaan masyarakat itu dengan memasukkan elemen persembahan kebudayaan seperti Tarian Seni Mempertahankan diri, wushu, gamelan, persembahan mi tarik dan tarian singa.

“Program merayakan Tahun Baru Cina ini dapat memberi gambaran yang baik berkaitan dengan kehidupan dalam sebuah negara Malaysia dengan kepelbagaian budaya.

“Begitu juga dengan konsep yang lain. Kita akan perluaskan dan setiap satu cabang itu diharapkan dapat memberi manfaat berguna kepada masyarakat. Inilah konsep Islam yang ingin kita bawa,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 7:01pm
d