mutakhir

Keputusan rayuan haji belum muktamad

Oleh Mahaizura Abd Malik

LEMBAGA Tabung Haji (TH) belum memuktamadkan atau mengeluarkan surat tawaran kepada pemohon rayuan haji yang berjaya.

Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan TH dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya masih dalam proses penilaian ke atas setiap permohonan rayuan secara individu.

“Proses ini mengambil kira semua kategori rayuan akan dinilai dengan terperinci.

“Sebarang keputusan bagi rayuan haji akan dipertimbangkan dengan berasaskan prinsip istito’ah (kemampuan).

“Kemampuan mengerjakan haji termasuk mempunyai wang cukup untuk menampung semua perbelanjaan menunaikan haji iaitu mempunyai bekalan dan perbelanjaan cukup termasuk nafkah orang di bawah tanggungan ditinggalkan di tanah air selain kesihatan, terpilih dalam kuota dan mempunyai mahram (bagi wanita),” katanya.

Kenyataan itu menyebut, kos sebenar mengerjakan haji pada musim 1440H/2019M adalah RM22,900 bagi seorang jemaah haji Muassasah.

“Kos berkenaan untuk membayar harga tiket penerbangan ‘carter’ pergi balik, penginapan, pengangkutan, sajian makanan dan bayaran kepada pihak berkuasa Arab Saudi bagi tempoh lebih 40 hari jemaah berada di Tanah Suci.

“Ini belum mengambil kira perbelanjaan TH untuk menyediakan perkhidmatan secara percuma seperti pelbagai kursus haji di seluruh negara, urusan stesen berlepas dan ketibaan di Tanah Air, pemeriksaan kesihatan, bekalan ubat-ubatan, buku bimbingan, pembimbing, kaunter kewangan, kaunseling dan petugas haji, perubatan serta peronda,” katanya.

Katanya, surat tawaran akan dimaklumkan kepada pemohon rayuan haji yang berjaya sahaja dalam masa terdekat.

“TH berharap semua pihak bersabar menunggu keputusan rayuan masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 7:42pm
d