mutakhir

Bukit Harimau Menangis selamat didaki

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

BUKIT Harimau Menangis (BHM) di Kemasik disahkan selamat dan sesuai dikunjungi penduduk serta penggemar aktiviti pendakian di Terengganu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, beliau mendapati laluan pendakian BHM selamat dan sesuai sebagai lokasi pendakian.

“Kami hanya dimaklumkan mengenai lokasi pendakian baru itu oleh anggota APM Kemaman tetapi tidak pernah ke lokasi untuk membuat pemantauan.

“Oleh itu, APM bersama komuniti setempat menjalankan aktiviti pendakian bersama dan mendapati ia selamat dan tidak berisiko untuk dikunjungi ramai.

“Jika di Kuala Nerus terkenal dengan Bukit Maras, Kuala Terengganu dengan Bukit Besar, Dungun dengan Bukit Bauk dan terbaru Kemaman dengan BHM,” katanya ditemui pada Program Jom Khabak BHM 2.0 bersama Penceramah Bebas, Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang di BHM, Kemasik, hari ini.

Pada program itu, seramai 1,000 penduduk termasuk penggemar aktiviti pendakian di daerah Kemaman menyertai program selain turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik Ir Saiful Azmi Suhaili dan 50 anggota APM negeri.

Che Adam berkata, pihaknya berharap penduduk yang menjalankan aktiviti pendakian di BHM menitik beratkan faktor keselamatan diri.

“Memang laluan BHM agak santai dan tidak berisiko berbanding bukit lain namun pendaki tetap perlu mengutamakan faktor keselamatan ketika mendaki.

“Pemakaian pakaian terutama kasut yang sesuai ketika mendaki sangat penting selain tidak terlalu tergesa-gesa untuk sampai ke puncak dan jangan mengambil risiko menggunakan laluan lain selain laluan yang disediakan.

“Waktu mendaki juga perlu sesuai dengan keadaan iaitu tidak mendaki lewat petang kerana dikhuatiri tidak sempat turut sebelum gelap,” katanya.

Menurutnya, APM daerah sedia maklum dengan bentuk geografi persekitaran dan laluan BHM itu sekali gus memudahkan bantuan kecemasan diberikan jika perlu.

“Saya difahamkan laluan pendakian ke BHM baru lima bulan dibuka tetapi menarik ramai pengunjung setiap pagi dan petang.

“Dengan ketinggian 666 kaki (203 meter) dari aras laut selain mempunyai pemandangan indah dari atas puncak semestinya BHM akan popular dalam kalangan kaki ‘hiking’,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 8:41pm
d