mutakhir

[UPDATE] Penumpang jatuh feri belum ditemui lagi

Oleh BERNAMA

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) penumpang yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut dari sebuah feri penumpang semalam diperluaskan 18 batu nautika persegi dari kawasan mangsa dipercayai terjatuh.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang berkata, operasi SAR yang masuk hari kedua mulai jam 7.30 pagi hari ini masih tidak menemui petunjuk dan mangsa yang terjatuh dari Feri Pulau Undan juga belum ditemui selepas 12 jam operasi SAR dijalankan.

“Lima bot APMM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Laut dan Angkatan Pertahanan Awam terbabit dalam operasi SAR hari ini.

“Sehingga kini, tiada laporan polis mengenai orang hilang dan pihak kami juga masih belum dapat mengenal pasti identiti serta jantina mangsa,” katanya.

Katanya, operasi SAR ditamatkan jam 7.30 malam dan akan bersambung semula jam 7.30 pagi esok.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi semalam, seorang penumpang terjatuh ke laut di 1.2 kilometer barat laut berhampiran Terminal Feri Butterworth.

Berita berkaitan

Rapid Ferry mulakan siasatan

Penumpang terjatuh dari feri [METROTV]

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 10:45pm
d