mutakhir

Tokan kantoi ketika bungkus dadah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

DUA lelaki dipercayai tokan dadah dicekup polis ketika baru selesai membungkus dadah di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Batu Menunggu, Pendang hari ini.

Serbuan dilakukan 1.30 pagi oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang berdasarkan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, pemeriksaan mendapati, dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 29 tahun itu sedang duduk di lantai bilik tingkat atas rumah berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui 11 paket plastik lut sinar berisi serbuk ketulan putih disyaki dadah jenis heroin dianggarkan 114.35 gram, satu alat penimbang digital, sebilah gunting, alat pemetik api dan lima plastik lut sinar kosong yang disyaki digunakan untuk pembungkusan dadah.

“Semua dadah jenis heroin yang dirampas itu dianggar bernilai RM3,420.

“Berdasarkan rekod, kedua-dua suspek yang menetap di Mukim Air Putih dan Batu Menunggu yang ditahan itu masing-masing memiliki empat rekod lampau berkaitan dadah,” katanya hari ini.

Arriz Sham berkata, selain itu pihaknya turut merampas wang tunai RM500.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 11:38pm
d