mutakhir

[UPDATE] Dua laporan polis diterima

Oleh Hasbi Sidek

POLIS membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 353, 147 dan 323 Kanun Keseksaan (KK) berhubung insiden Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikatakan diserang Pemuda Barisan Nasional (BN) di luar Pusat Penamaan Calon Dewan Seri Cempaka, Semenyih, 10.45 hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima dua laporan polis mengenai kejadian itu.

“Laporan pertama dibuat anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang yang mendakwa dikasari dan dipukul dari arah belakang suspek yang tidak dikenalpasti dalam usahanya menyelamatkan Syed Saddiq.

“Bagi tindakan siasatan pihak polis mengklasifikasikan siasatan ini di bawah Seksyen 353 (KK) atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, laporan kedua dibuat Syed Saddiq di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya.

“Dalam laporan itu, Syed Saddiq mendakwa diserang sekumpulan penyokong BN.

“Bagi tujuan siasatan, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 147 dan 323 KK atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan merusuh," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan keadaan luar Pusat Penamaan Calon Dewan Seri Cempaka kecoh apabila Menteri Belia dan Sukan itu diserang Pemuda BN.

Suasana hiruk-pikuk berlaku apabila Syed Saddiq dilihat melewati lokasi penyokong BN berhimpun sebaik selesai proses penamaan calon.

Twitter TeamSaddiq dalam statusnya mendakwa menteri muda itu ‘diserang’ penyokong BN.

Penyokong didakwa mengejek dan melemparkan kata-kata kesat berikutan tidak berpuas hati dengannya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 12:08am
    d