mutakhir

Uniknya Pasukan Bomba Komuniti Bukit Bendera

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PASUKAN Bomba Komuniti Bukit Bendera, Georgetown melakar sejarah apabila menjadi satu-satunya unit komuniti di Malaysia ditempatkan dan bertugas di tempat tinggi.

Pasukan seramai 41 anggota bertugas di puncak bukit terbabit akan dilatih dengan pengetahuan asas bantuan menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang (JBPM).

Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata, anggota pasukan berkenaan terdiri daripada pekerja Perbadanan Bukit Bendera dan penduduk di bukit itu.

Katanya, latihan dan pengetahuan diberikan meliputi asas menyelamat, memadam kebakaran dan tindakan awal dalam sesuatu kejadian.

“Puncak Bukit Bendera dikunjungi ribuan pelawat setiap hari dan ia adalah inisiatif terbaik kepada pekerja dan penduduk di sini bagi mengetahui asas tindakan awal sementara menunggu pihak bomba tiba di tempat kejadian.

“Inisiatif ini menjadi titik permulaan dan selaras dengan matlamat kami yang mahu menjadikan masyarakat sebagai ‘rakan bomba’,” katanya kepada media, semalam.

Saadon ditemui selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan dan Pencegahan Kebakaran JBPM Negeri di puncak Bukit Bendera.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai dan Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera, Cheok Lay Leng.

Turut diadakan pada majlis itu ialah penyerahan sijil kepada pasukan bomba komuniti dan demonstrasi memadam kebakaran.

Dalam perkembangan lanjut, Wong berkata, usaha berkenaan diharap dapat melatih lebih ramai masyarakat supaya mempunyai pengetahuan asas dalam situasi kecemasan.

Beliau berkata, ia berikutan di puncak peranginan itu, pelbagai situasi boleh berlaku terutama ketika menerima kunjungan pelawat yang ramai pada satu-satu masa.

“Bukit Bendera mencatatkan 1.7 juta pengunjung tahun lalu dan kini kami sedang merancang Fasa Empat Permodenan dan Pembesaran Stesen Atas bagi menampung tambahan 1,000 penumpang,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 12:16am
d