mutakhir

Guna FB jejak datuk terpisah 30 tahun

Oleh Harun Yahya

Sibu: Hasrat sekian lama seorang wanita mahu bersua muka dengan datuknya yang terpisah sejak lebih 30 tahun lalu termakbul hasil bantuan rakan menerusi laman sosial Facebook (FB).

Lebih menggembirakan buat Nurhazwani Sadon, 28, apabila usaha menjejaki datuknya itu, Mohammad Manaf atau lebih dikenali dengan nama Ah Kaw, membuahkan hasil menjelang majlis perkahwinannya minggu depan.

Nurhazwani berkata, dia sudah lama mencari datuknya itu menggunakan pelbagai kaedah.

“Selepas usaha bertanyakan pada saudara-mara gagal, saya memuat naik gambar perkahwinan datuk dan nenek serta menyiarkan nama penuhnya di Facebook.

“Gambar itu tular di Facebook dan Alhamdulillah, ada netizen mengenalinya dan memberikan maklumat lokasi datuk saya yang kini berusia 84 tahun,” katanya.

Dia terus pergi ke alamat rumah di Tabuan Dayak dan bertemu seorang lelaki warga emas.

“Ketika sampai di rumah itu, saya memberitahu mencari seorang lelaki bernama Mohammad Manaf atau lebih dikenali dengan nama Ah Kaw. Lelaki yang saya temui itu mengaku dialah Ah Kaw yang saya cari.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya meminta kad pengenalannya dan ternyata betul, lelaki itu datuk yang saya cari selama ini,” katanya.

Nurhazwani berkata, datuknya meninggalkan kampung halaman selepas bercerai dengan neneknya ketika ayahnya masih kecil.

“Kali terakhir ayah saya bertemu datuk sekitar 30 tahun lalu. Datuk sebelum itu ada pulang meminta salinan kad pengenalan dua anaknya untuk diletakkan sebagai pewaris tanah yang dibelinya namun selepas itu dia tidak lagi muncul,” katanya.

Katanya lagi, Mohammad atau Ah Kaw berjanji akan menghadiri majlis perkahwinannya di Sibu minggu depan selain bertemu dua anak dan bekas isterinya yang hanya dikenali sebagai Nek Tiah.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 8:07am
d