mutakhir

Banteras dadah di Kota Kinabalu

Oleh Norasikin Daineh

LIMA puluh lapan individu ditahan polis termasuk 20 didapati memiliki dadah dalam Op Sarang yang dilaksanakan sepanjang minggu ini di sekitar Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi yang bermula 9 Februari hingga semalam menumpukan beberapa kawasan di Kota Kinabalu dipercayai aktif dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Antara kawasan yang diserbu dalam operasi ini ialah Likas dan Kampung Lobou, Manggatal.

“Bagi tempoh itu, seramai 58 individu berusia antara 14 hingga 49 ditahan dan seramai 20 individu ditangkap kerana kesalahan memiliki dadah manakala 38 lagi didapati positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, polis merampas 29.38 gram dadah dengan anggaran nilai RM4,400 mengikut harga pasaran.

“Semua tangkapan dibuat mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, operasi dikendalikan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu serta dibantu anggota balai polis di bawah pentadbiran IPD Kota Kinabalu.

“Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu akan dipertingkat dari semasa ke semasa demi ketenteraman awam sekitar kawasan itu.

“Orang ramai juga dialu-alukan untuk memberikan maklumat berhubung kegiatan jenayah narkotik ini dalam usaha kita membanteras ia daripada berleluasa,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 9:13am
d