mutakhir

Papagomo antara 2 individu dipanggil

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

DUA individu dipanggil polis bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan insiden Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq dicaci dan dimaki sekumpulan penyokong yang memakai baju Barisan Nasional (BN) selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, semalam.

Seorang individu yang juga Ketua Pemuda sebuah parti dilaporkan sudah memberikan keterangan manakala Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, dijangka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, petang ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pada masa ini adalah penting untuk pihaknya mendapatkan maklumat daripada semua pihak yang terbabit dalam insiden berkenaan.

“Selain maklumat daripada pengadu sendiri (Syed Saddiq) yang mendakwa dicederakan oleh Papagomo dalam laporannya, kita turut memanggil individu lain berdasarkan siasatan dan maklumat daripada saksi kejadian.

“Setakat ini siasatan masih dijalankan berdasarkan segala petunjuk yang ada selain keterangan daripada semua individu yang dipercayai terlibat bagi membolehkan kertas siasatan disiapkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan merujuk laporan oleh pakar perubatan berdasarkan kecederaan yang dialami oleh Syed Saddiq.

Pada masa ini siasatan oleh Polis Daerah Kajang dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan Menggunakan Kekerasan Jenayah Bagi Menakutkan Penjawat Awam Daripada Menjalankan Kewajipannya, selepas anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang, mendakwa dikasari dan dipukul dari arah belakang oleh suspek yang tidak dikenalpasti.

Selain itu siasatan juga turut dijalankan mengikut seksyen 147/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan Dengan Sengaja Mendatang Kecederaan dan Merusuh.

Dalam laporannya semalam, Syed Saddiq mendakwa dicaci dan dimaki oleh sekumpulan penyokong yang memakai baju Barisan Nasional (BN) semasa sedang berjalan ke tempat letak kereta sekitar jam 11.05 pagi, selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Ketika berjalan bersama pembantu dan anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK) yang mengiringinya, mereka ditolak dari semua sudut oleh kumpulan berkenaan sebelum cuba dibantu oleh beberapa pegawai polis dan sukarelawan Unit Amal (PAS).

Pada masa sama, seorang lelaki dipercayai Papagomo, dilaporkan berlari dan menuju ke arah Syed Saddiq, sebelum menerjah dan terus bertindak ganas mencekak leher Ahli Parlimen Muar itu.

Bagaimanapun lelaki berkenaan kemudian ditolak ke belakang oleh pihak polis.

Berita berkaitan:

  • Syed Saddiq dakwa 'diserang' penyokong BN [METROTV]
  • Dua laporan polis diterima
  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 3:34pm
    d