mutakhir

Acah nak bakar, akhirnya bini mati

Oleh Siraj Mohd Zaini

HAYAT isteri berakhir di tangan suaminya apabila meninggal dunia akibat melecur selepas dipercayai bertengkar membabitkan hal rumah tangga dengan lelaki itu di sebuah kediaman di Batu 6, Bukit Naga, Shah Alam, semalam.

Mangsa, Rosnani Samsudin, 44, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira 4 pagi semalam selepas dirawat di hospital berkenaan akibat melecur pada tangan dan kaki, sejak 10 hari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian pada 9.30 malam 7 Februari lalu, mangsa dipercayai bertengkar dengan suaminya berusia 41 tahun di rumah berkenaan.

Menurutnya, pada awalnya suami mangsa mengugut mahu membakar rumah dengan menyimbah petrol kepada satu kayu palet dan menyalakan dengan pemetik api.

“Api itu berjaya dipadamkan mangsa, kemudian mangsa merampas bekas petrol daripada tangan suspek dan mencurahkan ke badannya sendiri. Mangsa mengatakan jika mahu bakar rumah, bakar dirinya sekali.

“Suspek yang berang dengan tindakan mangsa kemudian dengan niat mahu mengacahnya dengan memetik api (melalui pemetik api itu), tetapi api terus menyambar tudung mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baharudin berkata, mangsa kemudiannya berguling di atas lantai dan meminta tolong, suspek dan adik lelakinya yang tinggal bersebelahan rumah itu membantu memadamkan api berkenaan.

Katanya, ibu mentua dan adik lelaki suspek yang datang ke rumah apabila terdengar jeritan membantu memadamkan api di sofa kemudian menghantar mangsa dan suspek ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Mangsa yang melecur 48 peratus pada badan, termasuk muka dan tangan dipindahkan ke HKL, manakala suspek yang juga melecur di tangan dan kaki hanya dirawat sebagai pesakit luar.

“Kes ini awalnya disiasat mengikut Seksyen 307/309 Kanun Keseksaan kemudiannya diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan selepas mangsa meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan selepas menyerah diri sejurus selesai pengebumian isterinya dan direman sehingga 21 Februari ini untuk siasatan selanjutnya.

Katanya, pasangan suami isteri terbabit mempunyai lima anak berusia lima hingga 18 tahun dan pergaduhan sering kali terjadi berpunca daripada hal kecil seperti sekiranya mangsa pulang lewat daripada kerja, tidak mengemas rumah dan sebagainya.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 7:15pm
d