mutakhir

PAS sokong UMNO tapi kadar berbeza - Takiyuddin [METROTV]

Oleh Fitri Nizam

PAS hari ini menafikan tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih seperti didakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata, PAS tetap menyokong UMNO, namun tahap komitmen serta kadar pembabitan parti itu berbeza keadaannya dengan dilakukan parti itu pada PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.

Katanya, ia selaras dengan pendirian konsisten PAS yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lainnya serta mengekalkan hubungan dengan UMNO atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.

“Tidak ada apa-apa perakuan atau surat bertulis berkaitan PAS tidak akan menyokong UMNO pada PRK Semenyih, namun ada perbincangan secara lisan antara Dr Mahathir dengan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang.

“Secara lisannya, PAS menyatakan pendirian untuk tidak bertanding dalam PRK DUN Semenyih dan tahap penyertaan serta komitmen diberikan berbeza dengan PRK Parlimen Cameron Highlands,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus selesai melaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat, di Pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya apa yang dimaksudkan dengan tahap komitmen dan kadar pembabitan yang berbeza, Takiyuddin berkata ia terpulang kepada pemahaman masing-masing.

Mesyuarat yang bermula 3.15 petang itu dipengerusikan Hadi dan disertai ahli jawatankuasanya termasuk Naib Presiden, Idris Ahmad dan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulamak, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak,Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Turut hadir, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan; Ketua Dewan Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 8:07pm
    d