mutakhir

Cemas tong NGV meletup

Oleh Nur Saliawati Salberi

PEMANDU kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria berdepan detik cemas apabila tong gas asli (NGV) kenderaannya meletup dalam kejadian di stesen minyak dekat Sungai Petai, Melaka, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 6 petang ketika lelaki berusia lewat 30-an yang membawa kenderaan itu mengisi NGV di stesen minyak berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Penguasa Bomba Kanan (PBK) II Roslan Manas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.10 petang sebelum dua jentera masing-masing dari BBP Alor Gajah dan BBP Tangga Batu bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sejurus tiba di lokasi, pihaknya mendapati tong NGV tercampak berhampiran sebuah motosikal.

“Letupan gas itu tidak membabitkan kebakaran dan sebarang kemalangan jiwa.

“Ketika mengisi NGV tong gas yang berada pada bahagian belakang kenderaan itu meletup dan terputus dua,” katanya.

Roslan berkata, akibat terputus dua pada bahagian injap kepala, tong gas itu kemudian terpelanting kira-kira dua meter terkena sebuah motosikal jenis Honda Wave milik pekerja stesen minyak berkenaan.

“Difahamkan kenderaan terbabit mempunyai dua tong tetapi hanya satu yang meletup.

“Siasatan lanjut mengenai insiden itu dilakukan pasukan forensik bomba bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 8:20pm
d