mutakhir

Kaki 'bola golek' dicekup

Oleh Ruwaida Md Zain

SEMBILAN kaki judi bersama tujuh penganjur yang leka bermain judi bola golek di dua lokasi berasingan sekitar Klang, malam tadi, tidak sempat melarikan diri apabila diserbu polis.

Serbuan dijalankan bermula jam 8 malam di kaki lima deretan rumah kedai Jalan Perigi Nenas, Taman Perindustrian Pulau Indah dan kawasan perumahan di Jalan Sungai Chandong 9, Bandar Armada Pulau Indah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, semua ditahan berusia 16 hingga 50 tahun terdiri daripada penduduk tempatan dan warga asing.

Menurutnya, lokasi berkenaan diserbu selepas dipercayai aktif dengan judi bola golek sejak dua bulan lalu.

“Empat penganjur ditahan di lokasi pertama dan bakinya ditahan di lokasi kedua bersama sembilan kaki judi lain.

“Polis merampas pelbagai peralatan judi termasuklah tikar, bola golek, lampu, penimbang air dan wang tunai RM2,054,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, penganjur mensasarkan premis dan kediaman majoritinya didiami warga asing untuk kegiatan judi bola golek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 10:08pm
d