mutakhir

Terkandas dalam hutan kerana keletihan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

LIMA individu termasuk dua pelancong asing yang terkandas lebih lima jam ketika beriadah dalam Hutan Simpan Hujung Kelawai di Pangkor berjaya diselamatkan bomba, malam tadi.

Mereka termasuk jurupandu pelancong tempatan berusia 45 tahun masuk dalam hutan berkenaan untuk aktiviti riadah dan mendaki bukit kira-kira jam 2 petang semalam sebelum meminta bantuan bomba akibat keletihan dan tidak mampu keluar.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pangkor, Nor Mazlan Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 4.28 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota bersama jentera kemudian digerakkan ke lokasi kejadian untuk bantuan lanjut.

“Operasi menyelamat lima mangsa membabitkan dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta masing-masing seorang wanita Jepun dan lelaki Norway berusia antara 45 hingga 69 tahun.

“Mereka keletihan selepas menjalankan aktiviti riadah dalam hutan berkenaan dan selepas kira-kira lima jam berjalan bomba menemui lima mangsa terbabit di lokasi kejadian pada jam 9.50 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, ketika ditemui semua mangsa berada dalam keadaan keletihan, namun selamat dan bomba memberikan air minuman sebelum mereka meneruskan perjalanan keluar.

“Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka boleh berjalan sendiri termasuk lelaki Norway berusia 69 tahun.

“Selepas dibawa keluar dari hutan, mangsa dihantar ke Hospital Desa Pulau Pangkor untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 12.50 tengah malam,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 10:47am
d