mutakhir

Bahana pukul isteri

Oleh Nor Farhani Che Ad

TIDAK tahan diperlakukan seperti hamba apabila dipukul dan dibelasah sesuka hati, seorang wanita di Sungai Karangan, Kulim membuat laporan polis terhadap suaminya, minggu lalu.

Susulan laporan itu, suspek berusia 44 tahun diberkas pada 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, mangsa dikatakan kerap menjadi mangsa pukul suspek dengan kejadian paling serius pada 8 Januari lalu.

“Ketika kejadian 5.30 petang, suspek dipercayai penagih dadah mengambil mangsa dari tempat kerja dan membawanya ke kebun miliknya di Padang Serai.

“Di sana, mangsa dipukul dengan paip dan diugut dengan pisau di leher. Akibat kejadian itu mangsa cedera di kepala dan lebam di bahagian badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Nasir berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu kerana cemburu buta selepas mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Katanya, suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 11:56am
d