mutakhir

Polis masuk sekolah dua kali sebulan [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

SEKURANG-KURANGNYA dua kali dalam sebulan disarankan untuk wakil atau pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengunjungi dan memantau aktiviti persekolahan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, sasaran itu ditetapkan pihaknya sempena sesi Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan PDRM bagi Program Jom Kembali ke Sekolah.

Katanya, program memasuki tahun ketiga itu dilihat berjaya membantu pihak sekolah menangani masalah disiplin selain diharap mengurangkan kadar keciciran.

“Pihak polis atau pegawai perhubungan awam daripada PDRM ini tidak semestinya boleh hadir semasa sesi perhimpunan saja, tetapi ketika menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau mendekati murid dan pelajar mahupun guru secara.

“Selain itu, pegawai yang ditugaskan juga boleh bermesyuarat dengan guru di sekolah bagi membincangkan pelbagai format yang boleh menangani masalah disiplin.

“Kita percaya dengan kehadiran polis di sekolah, ia mampu membantu mengatasi kes jenayah membabitkan murid dan pelajar,” katanya, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan PDRM bagi Program Jom Kembali Ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), di Putrajaya, yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa.

Dalam pada itu, Teo berkata, keberkesanan program itu antara faktor ia diteruskan dan kementerian dalam perancangan untuk menyediakan papan kenyataan khas buat PDRM berkongsi maklumat penting di sekolah.

“Melalui papan kenyataan ini, ia bukan saja dapat memberi maklumat kepada murid dan pelajar tetapi pengetahuan juga kepada ibu bapa yang berkunjung ke sekolah,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 12:36pm
d