mutakhir

Nasi lemak periuk kera tarikan pelanggan

Oleh Shahrinnahar Latib

KEENAKAN sambal dan keharuman nasi lemak menjadikan ia hidangan digemari dan sinonim dengan masyarakat negara ini sehingga mengalami pelbagai perubahan cara penyediaan serta penggunaan bahan-bahannya.

Begitu juga yang dilakukan oleh peniaga di Kampung Seri Damai di Kuantan apabila turut melakukan inovasi ke atas makanan itu dengan menghasilkan produk nasi lemak periuk kera.

Berbeza dengan nasi lemak biasa, beras yang digunakan dimasak di dalam kelongsong periuk dan diletakkan santan serta air daun pandan sebelum dikukus sehingga masak.

Nor Zehan Mohd Zaiden, 39, berkata, selepas siap masak, nasi yang dikukus di dalam kelongsong periuk kera itu akan dihidangkan bersama dengan sambal tumis ikan bilis, kacang, ayam, timun dan telur goreng.

“Apa yang membezakan nasi lemak periuk kera dan nasi lemak biasa ìalah cara penyediaan nasi yang dikukus dalam kelongsong periuk kera. Ia sekali gus menjadikan nasi itu lebih lemak dan sedap.

“Selain itu, nasi lemak periuk kera ini juga tahan lebih lama iaitu hampir 24 jam jika disimpan dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui hari ini.

Nor Zehan, permintaan terhadap nasi lemak periuk kera amat memberangsangkan walaupun baru dijual kepada pelanggan sejak awal Januari lalu.

“Sebelum ini, saya memang ada jual lemang periuk kera. Namun selepas lama menjual lemang, saya rasa perlu ada produk baharu untuk menarik lebih ramai pelanggan, jadi saya hasilkan nasi lemak periuk kera ini.

“Memang ramai yang tempah nasi lemak periuk kera, malah ada dari Kuala Lumpur dan Kelantan. Jika di luar dari Pahang, saya akan hantar guna perkhidmatan bas ekspres. Saya tidak bimbang basi, sebab ia tahan lama,” katanya.

Katanya, dia mendapatkan kelongsong periuk kera dari masyarakat Orang Asli di Muadzam Shah yang mencarinya di dalam hutan.

“Alhamdulillah, kelongsong sentiasa ada untuk memenuhi permintaan pelanggan terhadap nasi lemak dan lemang periuk kera ini. Kadang-kadang saya cari juga kelongsong ini sendiri namun tidak mencukupi,” katanya.

Nor Zehan berkata, dia menjual dua kelongsong nasi lemak periuk kera pada harga RM7.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 12:41pm
d