mutakhir

'Mereka sibuk ambil gambar dan video sahaja'

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli

SAKSI kesembilan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim berkata, dia melihat sekumpulan orang awam hanya memandang keadaan anggota bomba itu tanpa berbuat apa-apa pada insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu.

R Narresh, 30, kru teknikal berkata, ketika itu, mangsa dalam keadaan bersandar dekat sebuah kenderaan, selepas jentera dan van bomba sudah meninggalkan tempat kejadian.

Saksi itu yang juga sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada prosiding hari keenam inkues berkenaan di Mahkamah Koroner, Shah Alam.

HAMDAN: Apa kamu buat?

NARRESH: Saya tak ada apa-apa respons. Sebab orang di sana... orang tak nak ambil apa-apa tindakan.

HAMDAN: Maksud kamu?

NARRESH: Saya masuk dalam ‘crowd’ itu. Saya tengok mereka sibuk nak ambil gambar dan video sahaja.

HAMDAN: Selepas itu?

NARRESH: Saya fikir sebagai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Saya tak boleh biarkan dan kena selamatkan dia dan bawa dia ke hospital.

HAMDAN: Ketika kamu sampai, ada tak ada pada bila-bila masa kamu nampak sesiapa pukul mangsa?

NARRESH: Tak. Tapi kedengaran orang dalam itu cakap... bomba pun mereka ada pukul. Mereka cakap dalam Bahasa Tamil.

HAMDAN: Boleh kamu kenal pasti sesiapa?

NARRESH: Tak.

HAMDAN: Kemudian?

NARRESH: Saya beritahu mereka supaya beri ruang untuk udara. Jangan dekat dan saya akan cari kenderaan.

HAMDAN: Apa maklum balas orang ramai?

NARRESH: Saya sudah berlari minta pertolongan tetapi tak ada sesiapa yang bantu, pada masa itu.

Saksi sama berkata, kali pertama dia berlari kira-kira 100 meter (m) dan cuba mendapatkan bantuan daripada tiga kenderaan, tetapi gagal sebelum berlari semula ke lokasi Muhammad Adib berada.

Ketika itu, katanya, ada orang yang sudah membuka baju-T, baju celoreng dan tali pinggang yang dipakai anggota bomba itu dan mangsa dilihat dalam keadaan terduduk.

Dia berkata, beberapa orang membantu mengusung mangsa sambil dia berlari kira-kira 200 meter untuk mendapatkan kenderaan bagi menghantar mangsa ke hospital.

Katanya, ada seorang lelaki Melayu memandu Mitsubishi Storm bersetuju untuk membantu menghantar ke hospital.

“Saya beritahu (kepada pemandu)... ada seorang cedera, boleh tak bawa ke hospital. Dia kata boleh dan kami masukkan mangsa ke bucket (bahagian belakang) kenderaan itu,” katanya.

Pada prosiding sebelum ini, Narresh berkata, dia ke kuil berkenaan bersama enam lagi rakannya, selepas mengetahui isu berhubung kuil berkenaan menerusi Facebook.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung petang ini.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 2:45pm
    d