mutakhir

[UPDATE] 'Saya terima dengan hati terbuka'

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

“SAYA menghormati keputusan dibuat dan sudah lama bersedia untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Jadi, saya terima keputusan rayuan ini dengan hati terbuka... kita menghormati proses undang-undang,” kata Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui pemberita di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan beliau bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada PRU-14 adalah tidak sah dan terbatal.

Keputusan itu diputuskan oleh lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum selepas mendengar hujahan.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, beliau tidak menjangkakan keputusan mahkamah pada hari ini.

“Saya tidak dapat jangka, saya tidak dapat baca fikiran orang. Pihak peguam mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merayu dan pihak saya berhujah dengan baik.

“Kedua-dua pihak berhujah dan Yang Arif Mahkamah Persekutuan memutuskan PRK diadakan semula.

“Saya perlu bersedia, menunggu keputusan SPR bilakah writ akan dikeluarkan dan bila penamaan calon perlu diadakan. Saya rasa tak lama lagi, Insya-Allah,” katanya.

Berita berkaitan

DUN Rantau: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Tok Mat

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 3:11pm
d