mutakhir

Lelaki pun boleh dapat kanser payudara

Oleh BERNAMA

KANSER payudara sinonim dengan golongan wanita, namun penyakit boleh membawa maut itu juga sebenarnya menyerang lelaki, malah komplikasi yang dialami pesakit lelaki lebih teruk kerana sel kanser yang menyerang mereka lebih agresif.

Pakar Bedah Am Kedah Medical Centre (KMC), Dr Khairun Nizam Mobin berkata, sekurang-kurangnya terdapat lima jenis kanser payudara dan kajian mendapati, misalnya seorang lelaki mendapat kanser jenis ‘A’ dan wanita menghidap kanser yang sama, peluang untuk pesakit wanita pulih lebih tinggi.

“Punca sel kanser payudara lebih agresif kepada lelaki tidak dapat dipastikan, cuma kita dapati selepas menjalani rawatan, ubat diberikan kepada pesakit lelaki kurang memberi tindak balas.

“Lelaki tidak banyak hormon estrogen pun untuk kita nak sekat, mungkin kanser ini jadi agresif sebab tidak ada benda nak ditahan,” katanya.

Katanya, walaupun nisbah risiko bagi seseorang lelaki menghidap kanser payudara hanya satu dalam 100,000 (1:100,000), namun perkara itu tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya ujian saringan awal perlu dilakukan jika mereka mempunyai simptom kanser payudara.

“Jika terdapat ketulan, bengkak, perubahan pada kulit, payudara besar tiba-tiba atau keluar seperti nanah atau darah dari puting, cepat jumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Seperti wanita, lelaki juga boleh menjalani mammogram screening untuk mengesan kanser pada peringkat awal,” katanya.

Ditanya mengenai bagaimana kanser payudara boleh menyerang lelaki, Khairun Nizam berkata, kebiasaannya ia bersifat ‘sporadik’ atau berlaku dengan sendirinya tanpa sebarang punca khusus.

“Tapi kita tidak menolak kemungkinan puncanya lebih kurang sama seperti pesakit wanita iaitu mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser payudara atau faktor genetik,” katanya.

Beliau berkata, kurang kesedaran atau stigma golongan lelaki beranggapan tidak berisiko hidap kanser payudara kadang kala menyebabkan pesakit mengesannya ketika sudah berada di tahap akhir dan penularan sel kanser sudah tidak dapat dikawal lagi.

“Sangat penting untuk mengesan penyakit ini pada peringkat awal kerana jika kanser payudara dikesan lebih awal, rawatan akan lebih berkesan dan peluang untuk sembuh lebih tinggi.

“Antara rawatan dijalankan seperti pembedahan membuang sebahagian kawasan yang ada sel kanser, rawatan radioterapi dan akan ada rawatan sokongan susulan untuk membolehkan pesakit meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Khairun Nizam berkata, pesakit yang selesai menjalani rawatan dan disahkan bebas kanser, disarankan menyertai kumpulan sokongan, mendapatkan kaunseling secara konsisten serta mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat kerana penyakit ini boleh berulang.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pesakit yang baru disahkan menghidap kanser payudara supaya tidak mudah terpengaruh dengan testimoni pelbagai produk kesihatan atau suplemen di pasaran, sebaliknya perlu mengikut nasihat doktor.

“Memanglah mereka guna duta yang sudah bebas kanser, tapi cerita di sebalik itu mereka tak beritahu. Pesakit ini sebenarnya sembuh disebabkan oleh rawatan seperti pembedahan dan radioterapi yang dilakukan di hospital, bukan makan produk mereka semata-mata.

“Ada juga setengah pesakit takut untuk menjalani pembedahan payudara kerana bimbang sudah tidak normal lagi, tapi sebenarnya pembedahan rekonstruktif boleh dilakukan untuk mendapatkan kembali bentuk payudara yang hampir sama seperti asal,” katanya.

Beliau berkata, paling penting pesakit haruslah berjumpa pakar bedah kosmetik bertauliah.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 3:36pm
d