mutakhir

Padan muka!

Oleh Hamzah Osman

GARA-GARA memuat naik status Facebook yang menghina polis, pemandu pelancong menerima padah selepas ditahan atas perbuatannya itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan ketika tampil membuat laporan kemalangan jalan raya di Balai Trafik Kuah di Langkawi, semalam.

Katanya, terdahulu suspek memuat naik status menghina polis ke laman sosial Langkawi Sana Sini II pada Khamis lalu iaitu sehari sebelum kemalangan membabitkan dirinya berlaku.

“Berikutan itu, seorang anggota polis membuat laporan kerana tidak berpuas hati atas kenyataan itu dan mahu tindakan sewajarnya diambil ke atas pemilik akaun Facebook berkenaan,” katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, kebetulan anggota polis trafik yang mengambil laporan kemalangan berkenaan mengecam wajah suspek berdasarkan gambar profil Facebook yang sempat di rakam di layar komputer.

“Suspek yang sudah memadam status itu dalam Facebook bagaimanapun mengakui memuat naik kenyataan itu kerana marah dan risau disaman oleh pihak polis.

“Lelaki yang bekerja sebagai pemandu pelancong itu ditahan reman empat hari berakhir Rabu ini dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, polis juga sudah merakam percakapan beberapa saksi awam dan merampas telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 3:50pm
d