mutakhir

Moratorium bauksit Pahang tamat bulan depan

Oleh Abdul Razak Raaff

TEMPOH moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang yang bermula 15 Januari 2016 akan tamat pada 31 Mac ini dan tidak akan disambung.

Susulan itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, semua aktiviti perlombongan bauksit dibenarkan beroperasi semula, namun mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau berkata, pada masa sama sebanyak 435,000 tan metrik bauksit di pusat penyimpanan sedia ada di Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman, Terengganu perlu dikosongkan sehingga hujung bulan hadapan.

Katanya, permit import (AP) bagi empat syarikat yang diberi kebenaran mengeksport bauksit juga akan tamat 31 Mac ini, manakala hanya bauksit yang sudah dicuci dibenarkan untuk dieksport selepas tarikh itu, bagi menjaga kebersihan dan alam sekitar

“Kerajaan negeri sudah maklum mengenai penamatan tempoh moratorium ini dan semua pihak juga sudah bersetuju dengan SOP baharu yang disediakan pasukan petugas, meliputi aspek perlombongan sehingga pengeksportan.

“Malah SOP berkenaan juga sudah dipersetujui Kabinet pada minggu lalu. Kita akan mengadakan satu sesi bersama pemegang taruh akhir bulan ini bagi memastikan semua pihak terbabit sedia mematuhinya.

“Hukuman maksimum iaitu penjara tiga tahun dan denda RM500,000 mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1975 akan dikenakan terhadap pihak yang melanggar SOP baharu perlombongan dan pengeksportan bauksit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau situasi terkini moratorium terhadap aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Kuantan, hari ini.

Dr Xavier berkata, moratorium tidak disambung kerana industri bauksit itu mempunyai permintaan dan potensi besar serta memberi keuntungan kepada kerajaan Pahang dengan kutipan royalti diperoleh pada 2015 cecah RM47 setahun.

“SOP ini akan kita perluaskan juga di Terengganu dan Johor yang turut memiliki aktiviti perlombongan mineral berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 4:35pm
d