mutakhir

SPRM dah jumpa Hamid

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah bersemuka bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer di kamar beliau di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung afidavit yang dikeluarkan oleh beliau, baru-baru ini.

SPRM dalam kenyataannya berkata, dalam pertemuan itu, tiada sebarang rakaman percakapan diambil oleh SPRM dan Hakim Hamid mencadangkan supaya satu pasukan petugas khas ditubuhkan ke arah mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

"SPRM akan mengkaji terlebih dahulu maklumat daripada afidavit berkenaan dan akan meneruskan siasatan sekiranya ia mempunyai asas berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Akta SPRM 2009.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berasas mengenai perkara dinyatakan dalam afidavit berkenaan diminta melaporkan dan menyalurkan maklumat terus kepada pejabat SPRM terdekat," katanya, hari ini.

Dalam pada itu, SPRM memaklumkan, setiap pemberi maklumat akan dilindungi mengikut Akta Pemberi Maklumat 2010.

Minggu lalu, Badan Kehakiman membuat laporan polis berhubung pendedahan seorang hakim mahkamah rayuan mengenai dakwaan campur tangan terbuka badan itu, membabitkan salah laku hakim mahkamah rayuan dan persekutuan.

Pendedahan dibuat Hakim Hamid melalui afidavit sokongan yang diikrarkan, dalam saman pemula difailkan anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo terhadap Ketua Hakim Negara.

Sangeet memfailkan saman pemula itu bagi memohon perisytiharan Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman.

Sangeet mendakwa, isu itu timbul apabila peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengeluarkan kenyataan keputusan rayuan dalam kes Akta Hasutan mendiang Karpal didakwa diubah akibat campur tangan seorang hakim kanan.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 7:28pm
d