mutakhir

Warga emas melecur cuba padam api

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SEORANG warga emas cedera di belakang badan ketika cuba membantu memadamkan kebakaran rumah di Kampung Bakau, Kangar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa berusia lingkungan 60-an melecur di badan selepas bajunya disambar api yang sedang marak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Penolong Penguasa Bomba Ashraf Effendi Abd Rahim berkata, dalam kebakaran itu, rumah papan satu tingkat musnah sama sekali.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4 petang daripada orang awam memaklumkan mengenai kebakaran rumah berkenaan.

“Seramai 12 anggota dikerah ke lokasi kejadian dan sejurus tiba pada jam 4.06 petang, bomba segera bertindak memadamkan api.

“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira satu jam kemudian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya masih cuba mengenal pasti pemilik rumah berkenaan.

“Kami dimaklumkan rumah ini berpenghuni tetapi kami tidak pasti sama ada warga emas yang cedera adalah pemiliknya yang sebenar.

“Mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah berikutan kecederaan yang dialaminya,” katanya.

Beliau berkata, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 7:33pm
d