mutakhir

DUN Rantau: SPR tunggu Perakuan Keputusan

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, hari ini berhubung kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau, Negeri Sembilan.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, justeru, pihaknya perlu menunggu Perakuan Keputusan daripada Pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk mengambil tindakan seterusnya.

“SPR mengambil maklum dan akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Seremban pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN N27 Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai terbatal dan tidak sah.

“Sehubungan itu, SPR perlu menunggu Perakuan Keputusan daripada Pendaftar Mahkamah Persekutuan bagi mengambil tindakan selanjutnya untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Mohamad bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan beliau di kerusi DUN Rantau pada PRU-14 adalah tidak sah dan terbatal.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alizatul Khair Osman Khairruddin, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

  • Lagi berita berkaitan PRK Rantau

  • Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 7:51pm
    d