mutakhir

Tak endah punya pasal, 'terbang' RM3,300

Oleh Mohd Khidir Zakaria

PADAH membiarkan lembu berkeliaran, seorang pemilik haiwan ternakan itu dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM3,300 oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), hari ini.

Kompaun itu dikenakan terhadap lelaki berusia 30-an selepas 10 lembu miliknya ditangkap anggota penguat kuasa dalam Operasi Ternakan Terbiar, jam 9 pagi.

Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan awam.

“Seramai 14 anggota penguat kuasa terbabit dalam operasi yang mengambil masa hampir satu jam. Semua lembu ditangkap dibawa ke MPPD sebelum dituntut semula pemiliknya.

“Pemilik kemudian dikenakan kompaun atas kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Kawalan Lembu Kerbau (MPPD) 1983,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zamri berkata, operasi itu adalah pertama dilakukan MPPD tahun ini.

Katanya, MPPD berharap tindakan diambil memberi pengajaran terhadap pemilik haiwan ternakan lain supaya tidak melepaskan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau di kawasan awam.

Beliau berkata, pihaknya akan bertindak lebih tegas terhadap pemilik yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran dan memasuki kawasan awam pada masa akan datang.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 7:53pm
d