mutakhir

Jenazah Siti Masitah dituntut keluarga [METROTV]

Oleh Nik Sukry Ramli

JENAZAH kanak-kanak berusia 11 tahun, Siti Masitah Ibrahim yang mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna di Kampung Tanjung Medang Hilir, dekat Pekan, 9 Februari lalu, dituntut ahli keluarganya, petang hari ini.

Ibu kepada arwah Siti Masitah, Solihah Abdullah, 35, ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kira-kira 5 petang tadi berkata, ahli keluarganya bersyukur kerana penantian mereka untuk menuntut jenazah itu dipermudahkan selepas sembilan hari ditempatkan di situ.

“Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pihak, terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga HTAA yang banyak membantu kami sekeluarga sepanjang kehilangan arwah Siti Masitah.

“Saya sentiasa berdoa dan menunaikan solat hajat supaya semua urusan hari ini berjalan lancar. Insya-Allah, malam ini juga jenazah akan disemadikan,” katanya.

Solihah ditemani sepupunya, Nur Asiah Abdul Manan, 33, kelihatan agak tenang sepanjang proses menuntut jenazah anaknya itu.

Difahamkan, jenazah Siti Masitah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Medang, Pekan, selepas solat Isyak malam ini.

Dalam kejadian 4 petang, 9 Februari lalu, mayat Siti Masitah ditemui dalam keadaan tidak sempurna dipercayai sudah dibunuh dalam tempoh lebih seminggu.

Mangsa dipercayai hilang pada 30 Januari lalu dan ahli keluarganya membuat laporan polis pada hari sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan sebelum ini memaklumkan, suspek lelaki warga Kemboja berusia 23 tahun ditahan pada 2 pagi, 31 Januari lalu bagi membantu siasatan kehilangan Siti Masitah.

Siasatan dilakukan polis mendedahkan suspek mengaku membunuh Siti Masitah menggunakan kayu kerana dendam sebelum dia direman selama seminggu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek difahamkan sudah disambung reman sehingga 24 Februari ini, bagi membantu polis melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Berita berkaitan

Apa fungsi Nur alert?

'Biar Allah tentukan nasib pembunuh Siti Masitah' [METROTV]

Ibu, keluarga Siti Masitah dipanggil beri keterangan

Nak kebumi Siti Masitah segera

Dendam, marah keluarga punca Siti Masitah dibunuh

Rakan terbayang lambaian Siti Masitah

Ibu Siti Masitah merayu, berlutut depan suspek

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 8:01pm
d