mutakhir

Temui ajal ketika ke sekolah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PELAJAR Tingkatan Tiga meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal berhampiran kilang beras Megat Dewa, Jitra, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mangsa, Wan Ridzwan Wan Rozi, 15, yang menetap di Kampung Kubang Menerong, Padang Sera, Jitra, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Megat Dewa untuk sesi pembelajaran.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila motosikal yang ditunggangi mangsa dan sebuah lagi motosikal yang ditunggangi dua beranak dari arah sama menghala ke sekolah menengah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, setibanya di tempat kejadian, motosikal yang ditunggangi Wan Ridzwan dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal yang ditunggangi, Mt Noh Md Isa, 67, dan anaknya, Adibah Mt Noh, 15.

“Akibat perlanggaran itu, ketiga-tiga mereka terjatuh di atas jalan hingga menyebabkan Wan Ridzwan terpelanting dan terkena pada kereta yang dipandu seorang wanita dari arah bertentangan.

“Kedua-dua beranak yang berasal dari Kampung Putat dihantar ke Hospital Jitra (HJ) untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HJ untuk dibedah siasat,” katanya.

Mohd Ismail berkata, pemandu kereta Proton Saga FLX itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 8:15pm
d