mutakhir

6 koperasi sekolah mampu peroleh RM1 juta

Oleh Iskandar Shah Mohamed

ENAM koperasi sekolah menengah di Selangor dikenal pasti berpotensi mencapai perolehan pendapatan lebih RM1 juta tahun ini.

Ia membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Bestari Berhad; SMK Seri Puteri Berhad; SMK Bandar Baru Sungai Long; SMK Taman Jasmin 2 Berhad; SMK Jalan Tiga Berhad dan Sekolah Sultan Alam Shah Berhad.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, statistik pihaknya menunjukkan semua sekolah itu berjaya mencatat nilai perolehan melebihi RM500,000 setahun.

“Koperasi SMK Subang Bestari Berhad memperoleh pendapatan tertinggi iaitu RM802,418 diikuti SMK Seri Puteri Berhad (RM701,358) dan SMK Bandar Baru Sungai Long (RM698,479).

“Tiga lagi koperasi iaitu Koperasi SMK Taman Jasmin 2 Berhad (RM650,794), SMK Jalan Tiga Berhad (RM515,617) dan Koperasi Sekolah Sultan Alam Shah Berhad (RM515,490). Semua sekolah itu merangkumi keseluruhan 2,406 koperasi sekolah di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Dialog Pengetua-Pengetua Koperasi Sekolah Selangor 2019 (Pengurusan Kewangan dan Pembangunan Perniagaan) di Klang hari ini.

Hadir sama Naib Presiden ANGKASA, Mohamad Azmi Omaruddin; Pengerusi ANGKASA Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah dan Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Selangor, Sazali Baharudin.

Abdul Fattah berkata, sehingga kini terdapat 276 koperasi sekolah di negeri itu membabitkan keahlian 268,204 orang.

“Jumlah aset bagi semua koperasi itu berjumlah RM42.8 juta dan menyumbang perolehan pendapatan RM41.6 juta,” katanya.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, pihaknya mensasarkan 50 koperasi sekolah berpotensi menjana pendapatan lebih RM1 juta tahun depan.

“Saya menasihatkan semua koperasi sekolah supaya mempelbagaikan jenis perniagaan dan tidak hanya tertumpu kepada pembekalan peralatan sekolah semata-mata seperti bidang peruncitan dan kantin sekolah,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 8:18pm
d