mutakhir

30,000 hilang kerja tak benar

Oleh BERNAMA

MENTERI Sumber Manusia M Kula Segaran hari ini menyangkal dakwaan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bahawa 30,000 orang akan kehilangan kerja tahun ini.

“Sebaliknya dengan kurang daripada 24,000 pengangguran yang dicatatkan tahun lalu sebenarnya ada banyak peluang pekerjaan tersedia untuk mereka.

“Kadar pengangguran menunjukkan tiada apa-apa yang luar biasa, tiada apa menakutkan,” katanya selepas menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian bersama antara Continental Tyre Malaysia Sdn Bhd (CTM) dan Persatuan Kakitangan Continental Tyre Malaysia Sdn Bhd (COMSA) di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir Pengarah dan Ketua Pegawai Kewangan CTM Hoe Loo Fee.

Baru-baru ini, Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan menganggarkan 30,000 pekerja akan diberhentikan tahun ini memandangkan peningkatan kos menjalankan perniagaan sebagai faktor utama jumlah pekerja yang diberhentikan meningkat.

Shamsuddin berkata, persekitaran ekonomi di dalam dan luar Malaysia adalah sukar dan ia menimbulkan cabaran utama bagi majikan untuk mengekalkan keuntungan mereka.

Sementara itu, Perjanjian Bersama yang ditandatangani hari ini menawarkan pakej imbuhan dan faedah tambahan kepada pekerja CTM termasuk peluang untuk bekerja dari rumah serta waktu fleksibel.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 8:38pm
d