mutakhir

Kanak-kanak 'ghaib' di tebing sungai

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun disyaki lemas selepas hilang di Sungai Muanad, Kampung Muanad Tiga, Beluran, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Amanual Darius, dikatakan terjatuh ke sungai sebelum hilang.

Difahamkan, usaha mencarinya masih gagal dan sehingga jam 8 malam tadi, hanya selipar mangsa ditemui di tebing sungai berkenaan.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.56 petang.

“Sebaik menerima laporan, sebuah jentera bersama sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran dikerah ke lokasi kejadian.

“Operasi pencarian dilakukan di tebing sungai sekitar lokasi mangsa kali terakhir dilihat, namun kanak-kanak terbabit gagal ditemui.

“Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa sedang bermain bersama rakannya di tebing sungai sebelum hilang dipercayai terjatuh,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Khatizah berkata, Pasukan Penyemat Di Air (PPDA) dari BBP Sandakan sudah dihantar ke lokasi untuk membantu mengesan mangsa.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 8:42pm
d