mutakhir

Jangan kesal, nasi sudah menjadi bubur

Oleh Zuliaty Zulkiffli

MEMILIKI empat rekod jenayah berkaitan dadah ternyata gagal menyedarkan seorang pengawal keselamatan dicekup sekali lagi kerana kesalahan sama.

Malah, ketika ditahan, lelaki berusia 37 tahun itu turut memiliki dadah heroin bernilai lebih RM6,000.

Suspek yang juga seorang penagih dadah dan sudah berkahwin diberkas polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang dalam satu serbuan di hadapan sebuah rumah di Kampung Charuk Kudung, Pendang, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, serbuan dilakukan jam 12.05 tengah malam sebaik menerima maklumat orang ramai.

“Ketika serbuan, lelaki terbabit sedang memegang beg jalur biru dan hasil pemeriksaan menemui dua paket plastik lutsinar berisi serbuk ketulan putih disyaki dadah jenis heroin seberat 227.37 gram dan sebilah gunting besi.

“Pemeriksaan lanjut menemui 10 paket plastik lutsinar kosong tanpa sebarang isi disyaki untuk digunakan dalam aktiviti pembungkusan heroin selain wang tunai RM529.

“Suspek berasal dari Kampung Charuk Kudung, Pendang, kini ditahan untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arriz Sham berkata, jumlah dadah dirampas bernilai RM6,821 dan berdasarkan rekod, suspek pernah memiliki empat rekod lampau berkaitan kes dadah.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 2:19pm
d