mutakhir

[UPDATE] Balu arwah rebah ketika azan terima bantuan

Oleh Faliq Lajim

BALU guru Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Alam Impian, Klang yang meninggal dunia selepas rebah ketika azan Zohor bulan lalu menarik nafas lega apabila menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bantuan bulanan RM1,540 sebulan itu diterima Nurul Izzati Nazirmuddin, 32, yang kematian suami, Allahyarham Muhammad Faisal Yaakub, 32, selepas rebah di sekolah itu 1.30 tengah hari, 8 Januari lalu.

Selain itu, PERKESO memberi bantuan RM2,000 kepada Noraini pada Majlis Penyerahan Cek Pengurusan Jenazah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.

Majlis itu disempurnakan Pengarah PERKESO Selangor, Mustafa Draman sambil disaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Nurul Izzati yang bekerja di Bahagian Pendidikan Islam JAIS berkata, dia bersyukur dengan faedah diterima melalui caruman PERKESO arwah suaminya itu yang kini membantu untuk meneruskan kehidupannya.

Menurutnya yang sedang hamil lapan bulan, bantuan itu akan digunakan untuk urusan melahirkan anak sulung tidak lama lagi.

“Apabila kematian mengejut seperti ini berlaku, memang banyak perlu menggunakan wang.

“Sebelum ini, bayaran bil dibuat melalui gaji bersama namun kini hanya saya bersendirian menanggungnya.

“Saya bersyukur dengan bantuan dan faedah yang diterima selain menyarankan mana-mana majikan untuk membuat caruman kepada kakitangan mereka yang berstatus sementara atau kontrak bagi kegunaan masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzati berkata, laporan penuh berkaitan punca kematian suaminya masih tidak dipastikan lagi dan hanya akan diketahui bulan depan.

Sementara itu, Mustafa berkata, anak Nurul Izzati yang bakal dilahirkan turut mendapat faedah sekali gus menjadikan jumlah bantuan bulanan keseluruhan RM2,567.

“Arwah layak menerima sumbangan itu selepas JAIS membuat caruman PERKESO bagi kakitangannya yang berstatus sementara dan juga kontrak.

“Faedah ini akan diberikan sepanjang hidup kepada Nurul Izzati walaupun seandainya dia berkahwin lain.

“Faedah bagi anaknya akan diberi sehingga dia berusia 21 tahun dan turut layak membuat skim pinjaman pendidikan PERKESO jika tidak mendapat mana-mana pembiayaan pendidikan dari mana-mana institusi,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Allahyarham Muhammad Faisal meninggal dunia selepas rebah di hadapan pintu bilik mesyuarat sekolah berkenaan ketika azan Zuhur berkumandang.

Berita berkaitan

Rebah ketika azan

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 3:52pm
d